close
XLT_0051
Oleh : LT

Pencarian melalui internet menemukan saya dengan halaman Kelong Paradise Waterpront Resort. Membaca halaman tersebut agak menarik, lantas saya menghubungi pengurusnya Encik Rayan untuk bertanyakan maklumat info lanjut mengenai lokasi kembara saya kali ini.

Hari Pertama

Pada hari yang dijanjikan saya bersama anak lelaki saya, Amir tiba dijeti Kelong Paradise lebih awal, Jadi, bolehlah saya merakam gambar-gambar menarik dikawasan rekreasi Bagan Nakhoda Omar yang merupakan perkampungan nelayan kaum Cina. Melihat panorama yang begitu menarik dan santai telah menghilangkan penat selama tiga jam pemanduan bermula di Petaling Jaya.

Saya sempat merakamkan suasana bot-bot nelayan yang baru pulang dan keluar untuk menangkap ikan di persekitaran laut Selat Melaka. Terdapat juga bot kecil fiber yang menjalankan perkhidmatan memancing dengan harga yang berpatutan. Di kiri dan kanan Sungai Besar ini ditumbuhi Rizaphora, sejenis bakau kurap, bakau minyak dan bakau api-api. Terdapat juga ratusan atau mungkin ribuan burung kedidi pasir ataupun engret yang berwarna kelabu putih berterbangan dan hinggap di dahan pokok-pokok bakau tersebut sambil menyambar anak ikan dipermukaan air, menghidupkan suasana santai di kuala Sungai Besar ini.

Selepas berkenalan dengan Encik Rayan, saya memulakan perjalanan singkat selama 15 minit menuju ke lokasi kelong. Suasana laut yang begitu tenang membolehkan saya melihat bangunan yang dicat merah kuning dari jauh walaupun di bumbung langit mula kelihatan tompok-tompok awan mendung. Encik Rayan menerangkan aktiviti memancing termasukkan memperkenalkan berjenis-jenis ikan karang batu seperti kerapu, jenahak, bawal, pari, senangin, gelama, gemuduk, cencaru, todak, kurau, ketang dan bermacam-macam lagi. Kaki-kaki pancing pasti akan merasa puas!

Aktiviti saya pada pagi itu hanyalah menjelajahi kelong ini daripada tingkat bawah hinggalah ke tingkat tiga. Di bahagian bawah adalah kawasan memancing yang dilengkapi dengan ruangan tidur bagi mereka yang suka bersantai di dalam hamok atau sleeping bag. Bagi yang suka tidur secara beramai-ramai bersebelahan joran pancing juga ada disediakan. Di sini suasana akan menjadi semakin gamat apabila hasil tangkapan pemancing merupakan ikan-ikan daripada spesies yang mahal dan bersaiz besar.

Memandangkan bulan ini angin timur laut mula bertiup dari arah timur laut, sedikit sebanyak mempengaruhi suasana persekitaran laut di Selat Melaka ini. Saya banyak menghabiskan masa dengan berehat di bilik penginapan hingga larut petang kerana cuaca mula berubah dimulai dengan angin kencang diikuti dengan hujan rintik-rintik dan bertukar menjadi lebat.

Namun bagi kaki-kaki pancing tegar ini, keadaan cuaca tidak mematahkan semangat untuk beradu dengan kail. Hingga larut malam masih banyak yang bertenaga untuk menyambung pertarungan dengan pelbagai spesies ikan-ikan di sini. Anak saya Amir sejak awal-awal lagi sudah dibuai mimpi, agaknya kepenatan selepas sehari suntuk menempuh pengalaman baru dengan menerokai suasana kembara yang menyeronokkan di kelong paradise.

Hari Kedua

Dalam saya melayani bunyi tebaran ombak yang memukul dan menghempaskan diri di tiang-tiang konkrit kelong malam semalam, sedar-sedarnya jam loceng saya berbunyi menandakan subuh fajar telah menjelma untuk hari kedua saya di kelong. Azan subuh hanya dapat saya dengari melalui radio kecil yang saya bawa bersama-sama. Hari ini saya membuat persiapan dengan NIKON D200 dan lensa NIKON 24 – 120mm untuk merakam suasana hening di waktu pagi dengan kilauan air laut yang sukar hendak dinyatakan keindahannya dengan kata-kata.

Namun saya sempat menikmati sekejap sahaja kerana hujan mulai turun dan menjadi semakin lebat, jawabnya selepas sarapan pagi dengan hidangan nasi goreng dan air milo, saya menyambung tidur semula menikmati panggilan bantal. Boleh dikatakan hujan kerap turun semasa percutian saya di kelong, namun suasana memancing dalam cuaca tersebut memberikan satu pengalaman baru. Hujan berterusan sehingga menjelang senja tanpa dapat menikmati suasana lembayung menutupkan tirainya. Mungkin ada lagi peluang untuk saya merakamkan suasana matahari terbenam di lain masa.

Di sebelah malam, saya hanya bersembang kosong dengan tetamu di sini akan hal-hal yang berkaitan memancing. Syukur bahawa mereka juga bersetuju dengan konsep memancing dan lepas atau dikenali sebagai ‘Catch and Release’ jika diluar negara. Ianya satu konsep konservasi alam di mana pemancing hanya ambil bila perlu dan bersesuaian saiznya. Lebih tepat setiap pemancing cuma memancing dan mengambil ikan yang saiznya sesuai untuk dimakan, ikan betina yang bertelur akan dilepaskan semula agar tidak kepupusan manakala ikan dibawah saiz matang di lepaskan semula sehingga cukup matang dan membesar secara sihat.

Selain itu, jumlah bilangan pancing dihadkan kepada dua batang joran sahaja. Sedar tak sedar kedengaran bunyi loceng yang disangkut dihujung joran berbunyi menandakan ada joran yang mengena umpannya. Malam itu, saya dan tetamu yang lain melabuhkan mata dengan iringan alunan ombak.

Hari ketiga

Saya sudah bersedia sejak subuh lagi. Menjengahkan diri ke jendela di sebelah katil telah memperlihatkan saya matahari yang mula menampakkan dirinya dengan suasana laut yang begitu tenang, beralun manja menandakan cuaca begitu tenang dan nyaman sekali. Hembusan angin sepoi-sepoi bahasa seolah-olah menjanjikan hari ini laut tidak bergelora dan memastikan perjalanan kembali ke tanah besar di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar dalam keadaan selamat. Sarapan pagi nasi goreng cina berlauk telur mata kerbau serta pilihan air milo panas atau kopi O sudah cukup menyelerakan saya.

Tepat pukul 9 pagi bot yang dipandu oleh Abg Zul meluncur laju membelah ombak meninggalkan Kelong Paradise Waterfront Resort menuju ke perkampongan nelayan di Bagan Nakhoda Omar. Dengan membawa bersama memori indah dan sukar dilupakan selama tiga hari dua malam di sini, saya mendiamkam diri melayan perasaan dengan harapan dan persoalan bila agaknya saya berpeluang luntuk bersantai di sini lagi.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada Encik Rayan, Pengurus Kelong Paradise Waterfront Resort atas kemurahan hatinya menaja percutian kali ini. Datin, di atas penat lelah tiga hari dua malam untuk memastikan perut saya diisi dengan masakan yang enak. Sahabat baru saya Andrew dan Matthew yang tidak lokek mengajar anak saya, Amir Shahizan cara betul memancing di laut. Puan Umikha dan keluarga dari Kampong Sepitas, Sabak Bernam yang sudi berkongsi pengalaman 20 tahun beliau menemankan suaminya memancing di merata tempat. Encik Mokhtar dan kru dari TNB Bangi dengan gelagat mereka dan tidak lupa abang Zul yang memastikan kami selamat pergi dan balik.

Sesampai sahaja dipantai rekreasi Bagan Nakhoda Omar, saya sempat menjamu selera dengan hidangan mee udang banjir dengan semangkok kerang bakar diwarong Kak Wah yang memang lazat dengan harga RM 8.50 sahaja. Memang terasa kelazatan mee udang banjir Kak Wah dengan campuran beberapa udang segar yang agak besar saiznya ditambah dengan isi kerang dibakar dicicah bersama sos lada. Rugi jika tidak singgah ke sini.

Sempat juga membeli buah tangan dengan dua kilo buah ciku dan tiga kilo mempelam yang banyak terdapat digerai-gerai buah ditepi jalan di Kampung Haji Dorani sebelum memulakan perjalanan balik. Keletihan sampai dirumah tidak terasa apabila foto-foto kenangan di Kelong Paradise Waterfront Resort dapat saya kongsikan bersama pembaca Santai Travel.

INFO TAMBAHAN:

Kelong Paradise Waterfront Resort boleh dilayari melalui www.kelongparadise.com atau menghubungi Encik Anwar 017-5277715 atau Encik Rayan 019-3456730. Bagi pakej yang disediakan untuk 2H1M cuma berharga RM185.00 seorang. Pakej termasok tambang bot pergi dan balik, makan untuk tengahari, makan malam dan sarapan pagi.

Bagi mereka yang ingin bermalam di Zamita Resort & Homestay di pekan Sabak Bernam boleh dihubungi melalui 013-2222131 atau 03-32162141 atau email: zamitaresort@yahoo.com atau layari www.facebook.com/Zamita Resort & Homestay, dengan harga bilik diantara RM50 satu bilik sehingga RM 300 sebuah homestay.

Untuk pakej harian bersantai di pantai rekeriasi Nakhoda Omar untuk merasai  mee udang banjir bolehlah menghubungi Kak Wah melalui 019-4746584. Beliau sedia menerima tempahan untuk kapesiti 40 hingga 80 orang pada satu-satu masa, lebihkurang dalam 2 buah bas persiaran.

Tags : Kelong MemancingKelong Paradise Waterfront ResortPancing
munzir

The author munzir

Leave a Response