close
Sports

Pelancaran Save Our Rainforest Race 2018

DSC_0537

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA Malaysia) telah melancarkan secara rasmi Save Our Rainforest Race (SORR) 2018 pada 6 Februari di Concorde Hotel Kuala Lumpur. SORR edisi ke-6 ini akan diadakan di Hutan Simpan Gading, Hulu Selangor pada 24 Mac 2018 (Sabtu) dan dijangka akan mengumpul seramai lebih 2000 peserta pelbagai peringkat dari seluruh negara serta menyasarkan penanaman sebanyak 1000 batang pokok hutan pelbagai jenis.

Menurut Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, Presiden PEKA Malaysia, SORR 2018 akan melibatkan laluan sejauh 15 km, bermula dan berakhir di Kem Pelangi Hill Resort. Peserta akan melalui beberapa check point untuk pelbagai aktiviti uji minda dan pendedahan berkenaan kepentingan hutan hujan tropika. SORR kali ini bukan sahaja melibatkan laluan di kawasan hutan malahan laluan di kawasan rekreasi Kolam Air Panas Kerling, Hulu Selangor.

Visi utama SORR 2018 adalah untuk mendedahkan dan memberi ilmu kepada peserta berkenaan penjagaan dan pemuliharaan hutan di negara ini. Puan Sri Sabrina berharap agar SORR menjadi platform kepada masyarakat, khususnya golongan muda agar lebih menjiwai dan mempunyai kesedaran mengenai kepentingan hutan hujan tropika. Beliau turut menyatakan kebimbangan PEKA terhadap aktiviti pembalakan tidak terkawal hampir di seluruh negara sehingga menjejaskan kawasan tadahan air yang menjadi sumber air mentah dan kepupusan habitat hidupan liar.

Majlis ini diserikan dengan persembahan pentomin oleh pelajar-pelajar Sekolah Cempaka yang bertajuk “Cut Your Greed, Not The Green” yang juga merupakan moto SORR 2018 serta nyanyian lagu tema PEKA, “Khazanah Alam” oleh Bob Yusof.

Turut hadir pada majlis ini ialah wakil-wakil penaja SORR 2018, antaranya UMW Toyota selaku penaja utama, Concorde Hotel Shah Alam, Tanah Aina Sdn Bhd, Women’s Sports and Fitness Foundation Malaysia, dan Pembinaan CW Yap Sdn Bhd.

Seperti SORR edisi yang lalu, setiap pasukan terdiri daripada dua orang dan bayaran sebanyak RM160.00 bagi setiap pasukan akan dikenakan. Orang ramai yang ingin menyertai SORR 2018 boleh mendaftarkan diri secara atas talian di laman sesawang PEKA Malaysia atau menghubungi Encik Haikal (017-9019920), Encik Andy (017-3302633), dan Cik Bazlinda (019-2422625). Sebarang pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel sorr2018@gmail.com.

Oleh Ariff Adli Mohamad
Tags : SORR 2018
munzir

The author munzir

Leave a Response