close
HeliDataranPutra3
image by www.malaysiaheritage.net

Putrajaya menjadi bandar raya taman pintar bertaraf antarabangsa dan kebanggaan negara kerana kehebatan perancangannya. Kini, namanya bukan saja meniti di bibir mulut rakyat tetapi dikenali di peringkat dunia – Putrajaya, Malaysia.

Putrajaya bukan saja menjadi pusat pentadbiran baharu negara, malah mempamerkan kreativiti, teknologi, kebudayaan, warisan dan kecantikan semula jadi bandar raya taman pintar oleh rakyat Malaysia.

Kedudukannya begitu strategik iaitu 25km di sebelah selatan Kuala Lumpur dan 20km di sebelah utara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang serta bersempadan dengan Cyberjaya yang menempatkan syarikat bertaraf Koridor Raya Multimedia (MSC).

Perancangan pembangunan Putrajaya terbahagi dua iaitu kawasan utama dan pinggiran. Ia adalah sebuah bandar raya yang dikelilingi tasik buatan manusia iaitu Tasik Putrajaya dan dihubungkan dengan lapan jambatan.

Dengan tersergam indah mercu tanda seperti PICC yang bertaraf antarabangsa – dihubungkan dengan Bangunan Perdana Putra oleh Persiaran Perdana (Boulevard) sepanjang 4.2km – Jambatan Seri Wawasan, Istana Melawati dan Masjid Putra, menjadikan Putrajaya begitu gah.

Pembangunannya yang mengambil kira aspek hubungan manusia dengan alam sekitar, menjadikan Putrajaya sebuah bandar raya yang begitu damai dan tenang, jauh daripada kesibukan berbanding bandar raya lain di mana-mana negara.

Kini, nama Putrajaya terpampang dalam peta dunia bukan saja sebagai ibu kota pentadbiran Malaysia tetapi destinasi pelancongan terkenal diperingkat antarabangsa. Ia diiktiraf sebagai model pembangunan bersepadu yang menitikberatkan pelbagai aspek, tanpa mengorbankan unsur semula jadinya. Kehebatan perancangan bandar bukanlah terletak pada bangunan pencakar langit, sebaliknya setiap binaan ada kehebatan dan nilai tersendiri seperti reka bentuk tradisional dan Islam. Perancangan pembangunannya memberi tumpuan kepada pemeliharaan eko-sistem dan pada masa sama menggalakkan dan mewujudkan suasana kehidupan yang aktif, harmonis dan membentuk masyarakat penyayang. Ia direka bentuk dengan memberi ruang kepada bentuk kehidupan yang bebas daripada tekanan kehidupan moden masa kini.

Kelestarian Alam & Cabaran Ekstrem

Tasik dan wetland sememangnya sinonim dengan Putrajaya. Ia secara tidak langsung menarik 200 spesies burung dari luar Putrajaya sekali gus mendorong minat pemerhati burung untuk datang ke sini. Wetland ini juga menjadi habitat semula jadi bagi reptilia, mamalia, amfibia, burung dan serangga. Selain daripada itu, kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati lebih 15 spesies katak juga boleh didapati di Putrajaya. Kehadiran hidupan liar membuktikan bahawa kelestarian alam di Putrajaya masih terpelihara.

Apa yang membuatkan Putrajaya istimewa adalah keindahan alam semulajadinya yang menjadi latarbelakang senibina banggunan dan mercu tanda di bandar ini. Bandar ini merangkumi kawasan seluas 49.631 hektar atau kira-kira 50 kilometer persegi. Putrajaya mengekalkan kualiti air dari dua anak sungai yang terletak di utara wetland dengan menggunakan teknik penapisan semula jadi.

Taman Wetland Putrajaya

Taman ini terdiri sel-sel wetland yang dibina khusus untuk tujuan menyingkirkan bahan pencemar serta membersihkan sebahagian besar daripada air di kawasan tadahan sebelum ia memasuki Tasik Putrajaya. Taman Wetland Putrajaya yang merangkumi kawasan seluas 197 hektar mendapat sumber dari Sungai Chua dan Sungai Bisa serta tiga anak sungai di bahagian utara bandar di Presint 13. Dalam Persekitaran hijau ini, pelbagai jenis haiwan akuatik dan burung juga boleh didapati termasuk seperti spesis Little Egret, Little Green Heron dan Cinnamon Bittern.

Taman Warisan Pertanian

Taman ini mempamerkan pelbagai pembangunan pertanian tradisional di Malaysia seperti getah, koko, kelapa sawit, buah-buahan, herba dan rempah. Ini termasuk proses penanaman tumbuhan dari benih sehinggalah memprosesnya menjadi produk yang boleh dimakan atau sebaliknya. Antara daya tarikan dan kemudahan yang disediakan di taman ini ialah Kompleks Pelawat, laluan Herba dan Rempah, Orkid, klon pokok getah dan anjung tinjau. Pelawat boleh memerhatikan aktiviti berkaitan pertanian seperti proses pengumpulan susu getah dari lebih daripada 100 spesies pokok getah klon dan pembekuan sebelum mereka diproses menjadi kepingan getah, penyelenggaraan tanaman, pemeliharaan buah-buahan dan lain-lain lagi.Pengunjung juga boleh melihat, menyentuh, menghidu dan belajar lebih daripada lebih 170 tanaman di taman, mencuba beberapa jenis buah-buahan segar yang berbeza dari kebun dan pengalaman menarik yang telah diatur sepanjang tahun.

Taman Cabaran Putrajaya

Challenge Park Putrajaya atau Taman Cabaran adalah sebuah pusat aktiviti ekstrem seluas 30 hektar di Presint 5. Taman ini mempunyai pelbagai kemudahan sukan lasak terbaik di Asia.Tarikan utamanya adalah Indoor Rock Climbing Wall , Extreme Bike Route dan Thrill Park. Kemudahan ini sesuai untuk pelawat daripada pelbagai peringkat umur dan tahap keupayaan. Kompleks tertutup Rock Wall Climbing terdiri daripada salah satu dinding panjat yang tertinggi di Asia Timur dan 5 tahap laluan basikal menuruni bukit yang menawarkan pengalaman yang berbeza.

Senibina Hebat Memukau Pandangan  

Mercu tanda utama dan bangunan di Putrajaya direka dan dibina oleh bakat tempatan. Putrajaya telah dibina di atas tanah pertanian ,dengan tiada struktur asas untuk memulakan pembinaan. Kerja-kerja kejuruteraan memainkan peranan penting dalam membina bandar ini untuk menjadikan ia bernilai. Ketika dalam perancangan untuk konsep, inspirasi dari seluruh dunia diambil kira. Hasilnya adalah campuran elemen senibina yang memberikan karisma tersendiri buat Putrajaya.

Persiaran Perdana

Persiaran Perdana ini membentuk tulang belakang Putrajaya seakan Champs- Elysees of Paris. Kawasan ini mewakili sebahagian besar daripada susunatur asas Putrajaya, bermula dari Bangunan Perdana Putra sehingga Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sejauh 4.2 kilometer. Dengan saiz jalan dengan kelebaran 100 meter ini membolehkan perarakan ataupun keraian diadakan dengan penuh gah dan warna-warni. Terdapat lima dataran sepanjang Persiaran  Perdana iaitu Dataran Putra, Dataran Putrajaya, Dataran Wawasan, Dataran Rakyat dan Dataran Gemilang.

Dataran Putra

Dataran Putra berbentuk bulat dengan keluasan 300 meter adalah tapak asas utama diperkuatkan dengan corak lantai Chahar Baghs yang ditentukan dengan elemen air dan landskap. Ciri utama bukan sahaja dibina untuk nilai estetika, tetapi lebih penting lagi, ia melambangkan sejarah negara. Bintang dengan 11 pecahan luar mencerminkan 11 negeri yang asalnya ditubuhkan Malaya selepas ia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, manakala 13 pecahan bintang dalaman mewakili 13 negeri dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Bintang dengan 14 pecahan mencerminkan pembentukan Wilayah Persekutuan. Susunan komplek berbintang disatukan dalam satu bulatan di tengah-tengah Dataran Putra melambangkan perpaduan dan matlamat rakyat Malaysia bersatu.

Monumen Alaf Baru

Dengan ketinggian 68 meter, berbentuk obelisk berwarna keemasan, struktur ini merupakan garis masa negara, menandakan detik-detik bersejarah dari zaman kesultanan Melaka sehingga ke hari ini. Ia diukir di atas 144 panel gelas kaca. Asas struktur besi ini berbentuk bunga raya (bunga kebangsaan Malaysia). Garis masa pula diukir di sebelahnya. Monumen ini terletak di Precint 2. Ia bukan sahaja memberikan pemandangan indah buat pengunjung malah menjadi tanda isyarat. Dengan pencahayaan yang cukup dari arah 360 darjah, ia boleh dilihat dari pelbagai lokasi di Putrajaya dan menjadi penunjuk arah buat bot yang menyusuri tasik buatan Putrajaya.

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Pusat konvensyen ini direka oleh Hijjas Kasturi, firma arkitek tempatan di Malaysia. Dikata rekaannya berinspirasi oleh kepala talipinggang (Pending) Raja Melayu. Bangunan ini terletak di aras bukit yang menjadi penamat laluan sepanjang 4.2KM Persiaran Perdana. Ia siap dibina pada tahun 2003 dengan matlamat utama untuk menjadikan PICC sebagai pusat konvensyen bertaraf dunia dengan keluasan 1.35 juta kaki persegi dengan ketinggian sembilan tingkat. PICC mempunyai kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik seminar, lounge, dewan bankuet, galeri, restoran, kedai dan parkir yang mampu menampung 1200 buah kenderaan. Sebuah taman dalaman direka untuk mengawal cuaca serta memberikan pencahayaan secara semulajadi. Ia merupakan ciri tersembunyi pusat konvensyen ini.

Astaka Morocco

Astaka ini terletak di Taman Botani Putrajaya dan merupakan hadiah dari kerajaan Maghribi kepada kerajaan Malaysia. Ia merupakan replika Istana Maghribi di Marrakesh. Mempunyai ciri-ciri Maghribi, astaka ini terbahagi kepada tiga zon iaitu zon awam, setengah awam dan zon privasi yang merupakan Mahkamah Diraja. Empat galerinya mempersembahkan barangan kebudayaan dan cara hidup yang pernah dijumpai di bandar-bandar lama Maghribi seperti Fez, Marrakesh, Meknes dan Rabat. Astaka ini dibina dengan keluasan 18,000 kaki persegi. Tukang terbaik dari Maghribi menghasilkan ukiran halus dan asli yang menjadikan ia permata Taman Botani.

Jambatan di Putrajaya

Selain menghubungkan keseluruhan Putrajaya, lapan jambatan unik telah menjadi mercutanda Putrajaya. Setiap rekaan jambatan mencerminkan budaya tempatan.

Terdapat empat jenis jambatan – Jambatan Rasuk (Jambatan Putra, Jambatan Seri Bakti, Jambatan Seri Setia), Jambatan Gerbang (Seri Saujana, Seri Gemilang, Seri Bistari), press box gider (Jambatan Seri Perdana) dan Jambatan Kabel (Jambatan Wawasan)

Semarak Acara Putrajaya

Putrajaya bukan sahaja merupakan bandar pentadbiran untuk kerajaan persekutuan. Kini Putrajaya menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara kebangsaan dan antarabangsa, dari seminar dan pameran sehingga aktiviti luar dan acara sukan. Putrajaya kini telah menarik pelancong dari seluruh dunia. Bandar ini juga sering menjadi destinasi utama melibatkan mesyuarat kerajaaan termasuk perjumpaan antara kerajaan, konvensyen seperti dari United Nation (UN), Organisation of the Islamic Conference (OIC) dan ASEAN. Acara-acara seperti Royal Floria Putrajaya, Citrawarna, Pertunjukan Belon Udara Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya International Islamic Art and Culture Festival, Light and Motion Putrajaya (LAMPU) dan Pertandingan Bunga Api Antarabangsa Putrajaya pernah diadakan di sini.

oleh : Azlie H, AK, Inesse Mokhtari, Camilia, Munzir & Neysa.                                      Terima kasih : Perbadanan Putrajaya

Tags : putrajaya
munzir

The author munzir

Leave a Response